SCCyberworld

Friday, October 28, 2011

DiGi Anjur Siri Konsert Jelajah Desa (Malay version)

Shah Alam, 27 Oktober 2011 - DiGi Telecommunications Sdn Bhd (“DiGi”) akan bekerjasama dengan ERA fm dan Giant Ants Talent Hub untuk membawa satu acara siri Konsert Jelajah Desa yang pasti menggegarkan ke beberapa bandar di sekitar Semenanjung Malaysia. Sebagai permulaaan, konsert Jelajah Desa yang akan bermula dari 18 November hingga 10 Disember 2011, akan diadakan di empat lokasi yang telah dipilih sendiri oleh pendengar stesen radio ERA fm, salah sebuah stesen radio di bawah naungan AMP Radio Networks (AMP).

Konsert yang akan menampilkan artis muda berbakat, Aizat serta kumpulan popular, Sixth Sense dan pelawak yang tidak asing lagi, Zizan akan diadakan di Kuantan, Pahang (18 November); Alor Setar, Kedah (3 Disember); Kerian, Perak (4 Disember) dan Tanjung Karang, Selangor (10 Disember). Rakan selebriti DiGi, Lisa Surihani, Shaheizy Sam dan juga pendatang baru dalam industri muzik, Reza Salleh dan Amir Jahari akan turut memeriahkan Konsert Jelajah Desa di lokasi terpilih.
Menurut Ketua Acara dan Penajaan DiGi, Pearly Lim, “Muzik merupakan salah satu saluran utama bagi DiGi untuk mendekati dan berinteraksi dengan pelanggan kami. Kami sentiasa prihatin akan setiap maklumbalas yang diterima daripada pelanggan yang seringkali mengeluh kerana konsert-konsert hanya diadakan di bandar-bandar besar. Kali ini DiGi akur dengan permintaan mereka dan membuat keputusan untuk mengadakan Konsert Jelajah Desa di bandar-bandar yang mereka pilih sendiri melalui ERA fm. Bergantung kepada sambutan yang diterima dari konsert kali ini, kami juga mempunyai rancangan untuk membawa siri Konsert Jelajah Desa ini ke bandar –bandar yang lain.”

Pengurus Rancangan ERA fm, Nazri Noran, berkata respons pendengar yang diterima setakat ini amat menggalakkan, “Mereka tidak sabar-sabar untuk bertemu dengan penyampai ERA fm yang selama ini hanya mereka kenali melalui corong radio. Walaupun AMP dan ERA fm berpusat di Lembah Klang, pendengar yang berada berjauhan daripada kami tidak pernah kami lupakan. Sebab itulah kami sentiasa mengadakan program-program untuk membawa krew ERA fm dan muzik hit terbaik kepada mereka. Terima kasih diucapkan kepada DiGi kerana sedia bekerjasama dengan kami dan memberi peluang kepada ERA fm mengeratkan hubungan dengan pendengar kita di serata Semenanjung Malaysia.”

Menurut Pengurus Bakat Giant Ants Talent Hub, Hafizuddin Jamaluddin, “DiGi sentiasa menyediakan ruang bagi para remaja untuk menonjolkan bakat-bakat mereka menerusi program-program yang pernah dianjurkan bersama. Konsert Jelajah Desa ini akan memberi peluang yang lebih baik untuk mendekatkan artis-artis tempatan kepada pelanggan DiG yang juga pendengar ERA fm. Industri tanahair memerlukan lebih banyak syarikat korporat seperti DiGi untuk mewarnai industri muzik tanahair.”

Untuk memeriahkan lagi acara Konsert Jelajah Desa ini, DiGi akan menganjurkan peraduan khas yang menawarkan hadiah berupa telefon pintar serta pas eksklusif untuk bertemu artis jemputan, untuk semua pelanggan DiGi.

Pelanggan DiGi hanya perlu melanggan pakej CallerTunes DJ Jelajah Desa dengan hanya RM1 seminggu dengan menghantar JD ke 2016 untuk melayakkan diri dalam peraduan ini. Lapan (8) pelanggan yang membuat tambah nilai tertinggi dalam tempoh promosi, 28 Oktober hinga 10 November, akan masing-masing memenangi sebuah telefon pintar. Disamping itu, DiGi juga akan memberi 10 pasang pas eksklusif ramah mesra bersama artis untuk 10 pelanggan yang tinggal berdekatan dengan setiap lokasi. Pemenang hanya perlu menjadi 10 pelanggan pertama yang mempunyai jumlah tambah nilai tertinggi dalam tempoh yang sama.

DiGi juga akan memberi pas percuma ke Zon Rock DiGi untuk 200 pelanggan pertama yang boleh menunjukkan SMS pengesahan untuk langganan CallerTunes JD mereka. Bagi pelanggan DiGi yang ingin bersama-sama memeriahkan Konsert Jelajah Desa mereka hanya perlu membeli cenderahati khas Konsert Jelajah Desa dari wakil-wakil DiGi yang terpilih untuk mendapatkan pas ke konsert.

Untuk mendapat maklumat lanjut mengenai Konsert Jelajah Desa, layari www.digi.com.my/jelajahdesa

No comments: